Sambutan kemerdekaan tanahair kita yang ke 57 sememangnya
menjadi tanggungjawab rakyat
Malaysia untuk menyambutnya. Tanpa mengira dimana lokasi serta keturunannya,
kita sama sama meraikan semangat ini.
Bagi menyempurnakan sambutan Kemerdekaan tahun ini, peranan penting
telah digalas oleh penggiat aktiviti 4x4 dikenali sebagai Yellow Cruiser
Adventure, bergabung tenaga dengan Malaysian4Wheelers dan turut mendapat
kerjasama Yayasan Al-Khalifah serta Majlis Agama Islam Pahang untuk
melaksanakan
tanggungjawab sosial kepada masyarakat Orang Asli telah diadakan pada 30hb Ogos hingga 1 September baru-baru ini.
Matlamat program yang dinamakan sebagai “Kembara Dakwah
Merdeka Yellow Cruiser Adventure Trail 4” membawa mesej keprihatinan mereka terhadap masyarakat
Orang Asli yang berada disekitar POS Telanok, Cameron Highlands dengan menyalurkan
sumbangan keperluan surau, pakaian, makanan dan keperluan dapur disamping
memberi suntikan semangat cintakan tanahair serta mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan
untuk mereka. Lebih istimewa lagi dalam agenda ekspedisi ini, satu majlis
pernikahan pasangan Islam Orang Asli juga turut berlangsung yang dikendalikan
oleh Juru Nikah dari Pejabat Agama Islam Daerah Cameron Highlands.
|
aktiviti sampingan 'kutip puntung rokok' dapat hadiah |
Lokasi tepat ekspedisi kali ini adalah di Ulu Jelai yang kini
sedang dalam proses pembinaan Loji Hidro, telah menempatkan semula beberapa
buah kampung masyarakat Orang Asli ke kawasan yang lebih selesa dan lengkap
dengan kemudahan asas yang baik. Namun begitu masih ada perkampungan yang masih
mundur dan perlu mendapat bantuan yang sewajarnya. Di dalam keadaan cuaca yang hujan dan sejuk, peserta
ekspedisi sudah dapat merasakan serba sedikit cabarannya sudah pun bermula.
Perjalanan sambil diiringi doa mensasarkan beberapa
penempatan dan di antara perkampungan yang sempat disinggahi sambil menghulur
sumbangan oleh peserta konvoy adalah, Kampung Teji, Cheros, Tiat, Abu, Sg Lun,
Susu, Pinang, Renglas, Terakit, Rening dan Senangkar.
|
Edaran sumbangan |
Tok Batin Alen, dari Kampung Teji mengucapkan sangat
berterima kasih atas kehadiran konvoy yang membawa sumbangan sejadah dan
telekong untuk kegunaan Surau, serta serba sedikit makanan tambahan kepada
mereka. Walaupun ianya sekadar makanan yang asas, itu tandanya masyarakat luar
masih sudi untuk membantu keluarga Orang Asli yang jauh di pendalaman. Maklum
saja, mereka memang menghadapi kesukaran untuk keluar ke pekan berhampiran yang
jaraknya lebih 20km disamping masalah pengangkutan dan ditambah pula dengan
keadaan jalan yang kurang selesa.
|
Telmatch dgn anak anak Orang Asli |
|
Pak Mid sedang melayan anak anak |
Satu pengalaman baru bagi peserta ekspedisi yang belum pernah
melihat sendiri bagaimana kehidupan seharian keluarga Orang Asli ini yang secara
total bergantung penuh dengan sumber hutan sebagai punca pendapatan mereka.
Usaha mereka mencari petai, ubi kayu serta ubatan herba harus dikagumi kerana
ianya memerlukan kepakaran semulajadi yang mungkin sukar untuk kita memilikinya.
Bagi mengekalkan sumber ini agar dapat dinikmati oleh mereka, kita sebagai
masyarakat moden seharusnya ada kesedaran yang kuat untuk memantau penerokaan
hutan yang tidak terkawal sejak kebelakangan ini. Jika ini tidak dilakukan,
maka hutan akan musnah, generasi akan datang tidak dapat menikmatinya, lebih
lebih lagi masyarakat Orang Asli yang lebih rapat dengan alam semulajadi ini.
Ketua Ekspedisi, Abdul Hamid Sulaiman atau Pak Mid, menzahirkan
rasa sempurnanya program tersebut yang berpusat di Kampung Rening adalah kerana
sambutan penduduknya yang meriah dengan Jalur Gemilang terhias di sekitar
kampung. Warga tempatan juga turut mengambil peluang untuk terlibat didalam pelbagai
acara yang telah disediakan khas untuk mereka seperti solat berjemaah dan
takzkirah serta sidang patriotik yang telah dipimpin oleh Ustaz Zulkifli, Imam
Muda berketurunan Orang Asli yang diselang selikan dengan bahasa Semai di dalam
penyampainya. Bagi menambah semangat Merdeka dikalangan generasi muda masyarakat pribumi ini, tayangan ‘wayang pacak’ juga
disediakan sementara menunggu detik jam 12.00 malam menyambut Hari Kemerdekaan
yang ke 57.
Secara keseluruhan, ternyata sekali hasil pendekatan seperti
ini sedikit sebanyak mampu mengubah persepsi masyarakat Orang Asli bahawa Hari
Kemerdekaan ini hanya boleh disambut dibandar sahaja. Dengan adanya komuniti
serta NGO yang prihatin, mereka sanggup menghabiskan cuti hujung minggu mereka
untuk menyambutnya bersama masyarakat pribumi yang sememangnya menantikan suasana
sambutan kemerdekaan yang jarang sekali dirasai.
Malaysia, Disini Lahirnya Sebuah Cinta..!
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 57
Untuk photo yg lebih banyak, sila lawati FB : Malaysian4Wheelers
No comments:
Post a Comment